fbpx

Luahan Pembaca: RapidKL diminta tambah laluan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Saudara Pengarang,

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan RapidKL diminta menambah laluan baharu untuk pengangkutan bas henti-henti di koridor Jalan Pahang bagi perkhidmatan dari Wangsa Maju, Setapak Jaya dan Taman Teratai Mewah terus ke Lebuh Ampang.

Kawasan ini sudah semakin padat dengan penduduk, namun perkhidmatan bas yang disediakan masih tidak selari dari segi bilangan laluan serta kekerapan perjalanan bagi laluan sedia ada.

Masalah ini begitu ketara sejak negara kembali kepada fasa pemulihan pandemik.

Hampir setiap pagi saya melihat begitu ramai penumpang menunggu bas di perhentian bas Jalan Genting Klang.

Kesesakan serius di Jalan Genting Klang dan Jalan Pahang dijangka bertambah serius apabila beberapa projek kediaman baharu yang sedang dalam pembinaan di Setapak dan Wangsa Maju siap beberapa tahun lagi jika tiada penambahbaikan mutu perkhidmatan bas di koridor Jalan Pahang.

Orang ramai tidak sanggup menunggu bas terlalu lama dan jika ada bas pun, terpaksa berhimpit. Ia akhirnya membuatkan ramai memilih untuk menaiki kenderaan sendiri ke tempat kerja.

Hanya ada satu perkhidmatan sahaja iaitu Laluan 250 yang membawa penumpang dari Wangsa Maju terus ke Lebuh Ampang, manakala laluan lain kebanyakannya berakhir di Chow Kit.

Sebelum ini, penumpang dari Wangsa Maju Seksyen 10, Setapak Jaya, Taman Sri Rampai dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas terus ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lebuh Ampang dengan menaiki bas Laluan 252, tetapi ia terhenti akibat penamatan operasi syarikat Len Seng Sdn. Bhd. pada 2019.

Dari Chow Kit memang ada perkhidmatan bas percuma dan monorel untuk ke destinasi seterusnya, tetapi fikirkan juga kesukaran dialami pengguna warga emas, penumpang yang membawa banyak barang untuk menukar bas dua kali serta faktor cuaca terutama ketika musim hujan.

Pengguna
Pengangkutan Awam
Jalan Ipoh,Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI