Saudara Pengarang,
Sebagai pengguna yang selalu melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) untuk pelbagai urusan, saya meminta jasa baik pihak pengurusan lebuh raya tersebut sentiasa peka dengan kemudahan yang ada di situ demi keselamatan bersama.
Dari segi pengamatan saya, tembok pembahagi di tengah lebuh raya itu warnanya agak kelabu dan kehitaman yang menyukarkan penglihatan pemandu lebih-lebih lagi ketika hujan lebat dan waktu malam.
Kesukaran dihadapi oleh pemandu terutama yang ingin memotong di lorong paling kanan kerana warna tembok yang agak gelap.
Keadaan ini menyukarkan pemandu untuk mengagak jarak kenderaan yang dipotong.
Justeru, syarikat konsesi lebuh raya berkenaan diharap mengecat tembok pembahagi jalan dengan warna putih serta hitam agar ia mudah dilihat pengguna, terutama pada waktu malam.
Saya juga berharap di sesetengah kawasan lebuh raya ini dipasang lampu menggunakan tenaga solar supaya keadaan persekitaran terang bagi mengelakkan kemalangan berlaku.
Untuk jangka panjang, saya melihat Lebuh Raya KLK sudah tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang agak tinggi terutamanya ketika musim perayaan dan pada hujung minggu.
Diharap kerajaan dapat membina laluan alternatif bermula berhampiran Lentang ke Gombak jika ke Kuala Lumpur dan laluan baharu di Gombak ke Lentang agar aliran trafik dapat dilencongkan agar kesesakan dapat diatasi kerana kenderaan akan bertambah setiap masa.
Risau dan Rimas
Temerloh, Pahang