GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, yang mengangkat sumpah untuk penggal kedua semalam, secara rasmi memulakan tugasnya hari ini.
Menerusi Facebook beliau, Kon Yeow berkata, komitmen beliau kekal untuk memacu Pulau Pinang ke arah yang lebih baik.
”Selamat pagi Pulau Pinang. Penggal baharu komitmen kekal untuk terus memacu negeri ini ke arah kecemerlangan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, di Seri Mutiara, semalam.
Menerusi keputusan PRN yang berlangsung Sabtu lalu, Kon Yeow menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dengan majoriti 7,116 mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), H’Ng Khoon Leng yang memperoleh 1,145 undi.
Kon Yeow dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu selepas gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga. – KOSMO! ONLINE