fbpx

Keunikan Al Haramain tawan hati jemaah umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fahmi (dua dari kanan, duduk) bersama Fatin NorSofea (dua dari kiri, duduk) bersama kakitangan Al Haramain di pejabat syarikat di Bangi baru-baru ini.

Al Haramain Travel & Tours (Al Haramain) berpengalaman dalam bidang perkhidmatan pengendalian umrah yang menawarkan pelbagai kemudahan menarik bersesuaian dengan bajet dan keperluan jemaah umrah pada masa ini.

Dalam peningkatan permintaan daripada masyarakat untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci selepas pandemik lalu, Al Haramain yang turut tidak terkecuali menerima impak daripada cabaran tersebut terus menyusun strategi dan fokus bagi merebut peluang keemasan daripada pasaran yang berpotensi kini.

Melalui keunikan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kereta api laju berkelajuan tinggi Haramain (keretapi laju) dari Madinah ke Mekah atau Mekah ke Madinah selain pakej bermalam di Taif dan khidmat mutawif yang terbaik telah menjadikan ia sebagai salah satu agensi umrah pilihan dan popular dalam kalangan masyarakat.

“Kami menjangkakan untuk membawa kira-kira 4,000 jemaah dalam musim umrah yang baharu ini iaitu 2023/2024 atau Hijrah 1445 berbanding 1,000 jemaah pada musim sebelum ini,” jelas Pengarah Eksekutif Mohamad Amirul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Iman dalam satu temu bual di pejabatnya di Bangi baru-baru ini.

Perniagaan beliau yang turut dibantu isterinya, Fatin NorSofea sebagai Pengarah Eksekutif syarikat berkeyakinan bahawa trend industri yang semakin stabil kini membolehkan syarikat merebut potensi peluang berharga bagi mengukuhkan lagi kedudukannya untuk jangka panjang.

KOSMO!: Bilakah syarikat memulakan penerbangan umrah bagi musim baharu 2023/2024 atau 1445 hijrah?
Mohamad Fahmi: Pe­nerbangan pertama kami dalam musim baharu ini adalah pada 23 Julai lalu, kami adalah antara agensi umrah yang terawal membawa jemaah ke Tanah Suci.

Kebanyakan agensi umrah yang lain bermula pada bulan Ogos ini. Selain awal memulakan pe­nerbangan, kami menggunakan visa umrah berbanding visa pelancong.

Jemaah kami telah dimaklumkan tentang kelebihan visa umrah yang bakal mereka gunakan dan diingatkan bahawa bakal jemaah perlu ambil tahu tentang jenis visa yang diperoleh daripada syarikat agensi umrah masing-masing.

Banyak perbezaan dan kelebihan antara visa umrah dengan visa pelancong dengan harga yang berbeza kira-kira RM800 hingga RM1,000.

Apakah keistimewaan pakej Al Haramain?
Istimewanya adalah kami menawarkan penginapan satu malam di Taif yang mana kami sebenarnya tidak mahu ­menyusahkan jemaah untuk memakai ihram dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan penerba­ngan akan terus ke Jeddah serta jemaah akan dibawa ke Taif dengan perjalanan mengambil masa selama satu jam 45 minit untuk bermalam di situ.

Keesokan harinya dalam perjalanan ke Mekah, jemaah akan singgah di Masjid Qarnul Manazil untuk niat umrah di sana. Sebenarnya, banyak sejarah Nabi Muhammad SAW di Taif dan antara destinasi ziarah adalah di Masjid Addas, Masjid Siku atau Masjid Alkou (Masjid Kuk) selain menikmati makanan serta membeli buah-buahan segar di Taif.

Kenapa peranan mutawif begitu dititikberatkan dalam penawaran per­khidmatan Al Haramain?
Kami sangat fokus kepada per­khidmatan mutawif agar mereka komited dan membantu jemaah secara penuh kasih sayang de­ngan menganggap setiap jemaah adalah ahli keluarga mereka.

Jika ada jemaah warga emas atau le­bih tua, mereka perlu melayan dan menjaga mereka seperti ibu bapa mereka.

Jika ada jemaah yang lebih muda, anggap mereka sebagai adik-beradik dan bagi jemaah yang sebaya pula, anggap mereka sebagai rakan sebaya.

Kami nak terapkan kasih sayang dalam kalangan mereka dan menjaga mereka sepanjang berada di Tanah Suci. Mutawif kami begitu arif tentang segala perkara, isu dan permasalahan termasuk yang berkaitan kesihatan dalaman wanita khususnya berkaitan haid untuk membantu jemaah wanita beribadah di sana tanpa rasa was-was.

Selain itu, di Madinah pula kami turut melantik ustazah yang akan membawa jemaah wanita memasuki Raudah di Masjid Nabawi.

Setiap Mutawif kami telah ditetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dicapai dan garis panduan yang telah ditetapkan bagi setiap mutawif sebagai usaha syarikat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

Syarikat telah menambah ka­kitangan dan kini kami memiliki 25 orang termasuk ketua mutawif dan mutawif bagi menunjukkan kami begitu komited menguta­makan perkhidmatan kepada jemaah agar semua urusan menjadi mudah sekali gus jemaah akan berpuas hati.

 

 

Apa lagi kelainan perkhidmatan Al Haramain?
Kami menawarkan perkhidmatan kereta api laju dari Madinah ke Mekah atau Mekah ke Madinah dan kos pengangkutan tersebut telah dimasukkan ke dalam pakej.

Tempoh perjalanan adalah singkat hanya sekitar dua jam berbanding menaiki bas selama tujuh hingga lapan jam sehala perjalanan. Jemaah tidak perlu risau tentang bagasi masing-masing kerana ia akan diuruskan oleh petugas. Jemaah juga tidak berasa letih dan mereka akan ada masa terluang beribadah di Mekah. Isu tandas juga adalah penting jika perjalanan mengambil masa yang panjang.

Boleh jelaskan tentang tawaran pakej umrah?
Kami ada beberapa pakej yang ditawarkan iaitu Umrah Pre­mium Lite, Umrah Royal Premium, Umrah Ramadan dan juga Umrah Premium Private Business Class.

Harga yang ditawarkan adalah daripada RM6,999 sehingga RM19,999 seorang. Bagaimanapun tumpuan kami adalah kepada pakej Umrah Premium Lite dan ia adalah yang paling popular dalam kalangan pelanggan. Hampir 90 peratus daripada pe­langgan mengambil pakej ini.

Apakah kelebihan Pakej Umrah Premium Light?
Semua pakej yang ditawarkan akan membolehkan jemaah menginap satu malam di Taif dan menaiki kereta api laju.

Harga yang ditawarkan adalah RM9,799 seorang untuk bilik berempat, RM10,499 untuk bilik bertiga dan RM11,099 untuk bilik berdua.

Ini adalah harga yang sangat kompetitif dan menjadi pilihan jemaah. Mereka akan menikmati makanan fullboard di Taif dan Madinah, manakala half board di Mekah yang mana jemaah diberi sarapan pagi tetapi mereka boleh menikmati makanan di luar yang berdekatan dengan hotel.

Kami sangat menjaga kualiti untuk memberi keselesaan kepada jemaah. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI