KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan semua wakil rakyat yang dipilih untuk menumpukan kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini.
Titah baginda, wakil rakyat telah diamanahkan untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan mereka dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.
“Justeru, fokus dan keutamaan kamu (wakil rakyat) adalah kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini. Ini kerana kesetiaan utama kamu ialah untuk negeri, bukannya kepada mana-mana parti politik ataupun keperluan peribadi.
“Negeri ini amat memerlukan pemimpin yang beramanah tinggi, bermaruah tinggi dan berpendirian tinggi. Dalam bahasa Inggeris, Persons of Honour sesuai dengan gelaran Yang Berhormat yang kamu terima.
“Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang dirangka untuk kebaikan rakyat,” titah baginda dalam Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Pada istiadat berkenaan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua berturut-turut.
Baginda juga mengingatkan semua wakil rakyat supaya sentiasa bekerjasama dan memelihara tertib serta mengambil bahagian dengan baik dalam setiap perbincangan mengenai sesuatu permasalahan terutama ketika Dewan Undangan Negeri bersidang kelak.
“Ini bagi memastikan rakyat Beta di negeri yang Beta kasihi ini akan sentiasa mendapat nikmat daripada setiap dasar yang dirangka dan dilaksanakan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE