MELAKA – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandungnya dan seorang rakan berperwatakan ‘tomboy’ masih memerlukan rawatan rapi di hospital.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mangsa yang berada di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru itu juga mengalami trauma akibat kejadian tersebut.
“Mangsa masih berada di wad kanak-kanak, tetapi kesan-kesan (penderaan) itu memerlukan rawatan rapi.
“Anak ini baru setahun tinggal dengan ibu kandungnya dan sudah semestinya dia mengalami trauma. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang memberikan dorongan serta keyakinan kepadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Nancy berkata, JKM telah mengenal pasti waris mangsa yang layak untuk diberikan hak penjagaan dan perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kita sudah ada background (maklumat waris) siapa yang akan mengambil kanak-kanak itu, tetapi ia belum dimuktamadkan sehingga mangsa keluar hospital.
“Bagaimanapun kerja-kerja persediaan telah ada daripada JKM, pihak JKM sentiasa menjaga mangsa dan memastikan tiada gangguan lain,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera ibu kandungnya sendiri, berserta seorang lagi rakannya yang berperwatakan ‘tomboy’.
Perbuatan itu terbongkar selepas jiran-jiran di kawasan kediaman tersebut menerjah rumah pasangan terbabit di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang. – KOSMO! ONLINE