ARAU – Niat seorang pemuda untuk menyambung pengajian kembali berkobar-kobar selepas mendapat tajaan Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membiayai pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Adam Harris Abdullah, 18, berkata, dia hampir melupakan hasrat untuk menyambung pengajian di menara gading akibat kesempitan hidup yang membelenggu keluarga angkatnya.
“Saya dibesarkan keluarga angkat iaitu pasangan Mohd. Aini Madon, 60, dan Siti Rodziyah Awang, 59, sejak berusia 22 hari hingga kini.
“Pendapatan bapa sebagai penoreh getah hanya sekitar RM500 sebulan menyebabkan mereka hampir berputus asa mengizinkan saya menyambung pengajian,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, dengan peluang ditawarkan, pemuda itu mengatakan dirinya cukup bertuah dan berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dalam bidang elektrik bagi membalas jasa keluarga angkat yang membesarkannya.
Keluarga itu terdiri daripada 12 ahli termasuk dua anak kandung serta cucu yang hanya melakukan kerja-kerja kampung sebagai pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, keadaan yang dihadapi Adam Haris menarik perhatian pengurusan UniMAP berikutan bapa angkatnyanya uzur kerana sakit belakang manakala ibu pula mengalami masalah penglihatan.
“Delegasi UniMAP segera mengunjungi Adam Haris di Perumahan KEDA Bukit Kura, Kuala Nerang di Kedah apabila mengetahui tentang pelajar terbabit dan menawarkan peluang ini kepadanya.
“Selain tajaan Dermasiswa B40 TVET dalam bidang diploma, yuran penginapan pelajar ini juga ditanggung oleh universiti bagi membolehkannya mengikuti pengajian dengan lebih baik dan selesa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE