BANGKOK – Harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun di tengah-tengah kebimbangan meningkat mengenai bekalan global, selepas pengeksport utama, India, menyekat penghantaran komoditi itu, lapor laman berita RT kelmarin.
Faktor tersebut diburukkan lagi dengan keadaan cuaca tidak menentu di Asia Tenggara yang berisiko menjejaskan lagi pengeluaran tanaman itu.
Data dikeluarkan Persatuan Pengeksport Beras Thailand menunjukkan harga beras putih hancur lima peratus negara itu meningkat kepada AS$648 (RM2,972) bagi setiap satu tan, yang merupakan paras tertinggi sejak Oktober 2008.
Lonjakan itu berlaku selepas India mengumumkan sekatan ke atas eksport beras putih bukan basmati pada hujung bulan lepas.
Langkah tersebut diambil sebagai usaha kerajaan untuk meredakan harga beras tempatan yang telah meningkat lebih 30 peratus sejak Oktober 2022.
Namun, larangan itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai inflasi seterusnya di pasaran makanan global kerana beras adalah sumber penting bagi berbilion-bilion penduduk rantau Asia dan Afrika.
Ancaman terbaharu bekalan beras kemudian dicetuskan pula oleh Thailand, yang merupakan negara pengeksport kedua terbesar tanaman tersebut.
Pihak berkuasa negara itu menggalakkan para petani beralih kepada tanaman yang kurang memerlukan air ketika negara itu bersiap sedia menghadapi keadaan lebih kering semasa bermulanya fenomena El Nino.
Corak iklim itu cenderung membawa kepada pengurangan jumlah hujan di Asia Tenggara serta beberapa kawasan lain, sekali gus memberikan impak negatif kepada tanaman.
Ketika musim El Nino bagi musim tanaman 2015-2016, ia telah mengecilkan keluasan tanaman padi Thailand dan mengurangkan pengeluaran beras tahun ke tahun sebanyak 16 peratus, demikian menurut satu data.
Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Charoen Laothamatas berkata, dalam tujuh bulan pertama tahun ini, negara itu telah menghantar 4.8 juta tan metrik komoditi itu dengan eksport bulanan sebanyak 700,000 hingga 800,000 tan metrik.
“Pasaran dunia amat tidak menentu disebabkan spekulasi di setiap pasaran yang menjejaskan negara-negara yang tidak mempunyai stok beras,” katanya.
Sementara itu, pengasas bersama Farm Angel, Vivek Sharma berkata, buat kali pertama dalam sedekad, syarikat teknologi pertanian berpangkalan di Vietnam tersebut tidak membeli beras daripada petani di negara itu bulan lalu, selepas harga mencatatkan peningkatan.
“Kenaikan harga ini berkemungkinan akan berterusan ketika negara-negara yang bergantung kepada import seperti Indonesia dan Filipina cuba meningkatkan bekalan mereka.
“Dengan pilihan raya yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan, Indonesia tidak akan berkompromi,” ujarnya seperti dipetik akhbar South China Morning Post.
India membentuk 40 peratus daripada eksport beras dunia dengan sekitar 30 peratus daripada penghantarannya atau bersamaan 12 peratus daripada jumlah perdagangan global terjejas daripada sekatan yang dilaksanakan bulan lepas. – AGENSI