PETALING JAYA – Ramai anak muda zaman sekarang menjadikan telefon pintar jenama iPhone sebagai penanda aras untuk kelihatan bergaya sehingga sanggup membuat pinjaman serta berhutang gara-gara mahu memenuhi keinginan diri.
Menerusi perkongsian pengguna Twitter @XavierNaxa baru-baru ini, dia berkongsi tangkap layar pinjaman dibuat oleh seorang pembeli berjumlah RM4,099 kerana mahu memiliki iPhone 11 128GB yang berharga sekitar RM2,199.
Malangnya, pembeli tersebut terseksa untuk membayar ansuran RM165 sebulan selama 36 bulan sehingga bayaran menjadi tertunggak.
“Buat pinjaman sehingga RM4,099 semata-mata untuk iPhone 11 128GB. Ini luahan seorang pembeli yang merungut kerana terpaksa membayar ansuran RM165 lebih awal selama 36 bulan.
“Nasihat saya, fikir berkali-kali jika mahu berhutang untuk membeli iPhone,” pesannya.
Melihat kepada tangkap layar yang dikongsikan itu, peminjam perlua melunaskan bayaran keseluruhan pinjaman sebayak RM5,940 berbanding jumlah pinjaman asal.
Ini menunjukkan pertambahan RM1,841 yang dikira sebagai ‘bunga bayaran’.
“Di mana akal fikiran yang Allah anugerahkan. Beringatlah, jangan buat pinjaman semata-mata untuk memuaskan nafsu gaya hidup.
“Jika kemaruk untuk dapatkan sebuah iPhone, cukup untuk beli iPhone 11 terpakai.
“Harga iPhone 11 (128GB) sekitar RM2,199 dan model ini telah ditamatkan pengeluaran. Dengan pinjaman sehingga RM4,099 sudah cukup untuk membeli iPhone 14,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE