ENAM bulan turun naik mahkamah, drama pergolakan rumah tangga pasangan selebriti popular Diana Danielle dan Farid Kamil berakhir dengan episod perceraian.
Berawal pada 10 Mac lalu, Diana mengejutkan industri hiburan tempatan apabila nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya dengan alasan berlaku syiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Rentetan tindakan nekad itu, episod turun naik mahkamah pasangan tersebut mula menuai perhatian ramai.
Manakan tidak, Farid tidak pernah sepi daripada membuat kejutan setiap kali muncul di mahkamah.
Kejutan tersebut bukan hanya menerusi perkataan tetapi juga tindakan, termasuk membawa kedua-dua ibu bapanya, jambangan bunga, barangan kemas termasuk bagi mengganti cincin perkahwinan yang hilang antara usahanya memujuk hati si isteri.
Sayangnya, perasaan untuk kembali menjalani semula kehidupan suami isteri dalam perkahwinan ibarat sudah mati buat Diana yang menolak semua pemberian istimewa Farid.
Selain itu, proses perceraian mereka juga tidak sunyi daripada saling berbalas kenyataan dalam media sosial mengenai penolakan hadiah dan tuduhan wujud pihak ketiga (curang).
Begitulah dramatiknya kisah rumah tangga pasangan tersebut sebelum talak satu dilafazkan Farid terhadap Diana secara dalam talian di hadapan hakim di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.
Lafaz cerai secara dalam talian dilakukan susulan Farid tidak dapat menghadirkan diri atas alasan masalah kesihatan.
Tiada tangisan atau air mata yang jatuh pada saat tersebut, hanya senyuman terukir pada wajah Diana sejurus keluar daripada dewan bicara.
Kata Diana, 32, biarlah dia sahaja yang mengetahui dan melalui semua perasaan duka, bahkan menganggap perkara tersebut terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum.
“Saya tak mahu kongsi mengenai perasaan tersebut dan perceraian ini bukan mudah untuk kami berdua hadapi sebenarnya.
“Kini, kami sudah boleh tutup buku seterusnya memulakan kehidupan baharu selepas ini selain tidak akan sesekali pisahkan Muhammad dan Aurora dengan bapa mereka,” katanya dalam nada tenang.
Baginya, biarlah dirinya kelihatan cekal walaupun rumah tangga yang dibina atas dasar cinta 11 tahun lalu musnah.
“Sebenarnya saya tak mahu beri persepsi ‘saya tiada perasaan’ namun disebabkan saya figura awam, jadi inilah yang perlu saya tunjuk (kuat).
“Nampak kuat di hadapan orang tetapi di belakang pintu saya ada macam-macam perasaan dan tiada siapa yang tahu mengenainya,” ujarnya.
Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson mengakui perkahwinan selama 11 tahun mengajarnya menjadi wanita lebih matang dalam menjalani semua aspek kehidupan.
Matang, 11 tahun
“Walaupun sudah bercerai, tidak semestinya saya hanya mengutip semua hal yang negatif sahaja. Realitinya, terlalu banyak hal positif yang saya pelajari.
“Semoga kehidupan kami berdua kembali bermula dengan baik selepas ini,” ulasnya yang hanya berkomunikasi menerusi peguam masing-masing bagi urusan perceraian, hak lawatan dan penjagaan anak.
Dari segi karier atau hubungan profesional jika dipertemukan dalam naskhah lakonan, buat masa ini Diana belum ada jawapan pasti.
“Hendak kata saya saya okey atau tidak, memang tidak pasti. Sejujurnya tidak tahu.
“Biar masa yang menentukan semuanya. Kini saya dalam tempoh idah dan fokus hanya untuk anak-anak,” jelas pelakon filem Imaginur itu.
Terima kasih – Farid
Meskipun tidak hadir ke mahkamah kerana tidak sihat, Farid menerusi Instagram mengakui reda dengan ketentuan yang sudah ditetapkan Tuhan buat dirinya.
“Alhamdulillah. Kita memang boleh merancang tetapi aturan takdir tetap pada yang punya kuasa (Tuhan).
“Terima kasih untuk semua doa dan semoga anda semua bahagia dunia serta akhirat,” katanya ringkas.
Dalam soal penjagaan anak, Diana dan Farid sudah mencapai kata sepakat dan akan direkod di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 21 Ogos depan.
Buat masa ini, keputusan tersebut masih belum boleh dikongsi kepada umum.
Tuntutan nusyuz yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini juga sudah ditarik balik.