SEREMBAN – Parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini akan melakukan post-mortem susulan kekalahan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.
Lima kerusi berkenaan adalah Bagan Pinang, Gemas, Serting, Labu dan Paroi.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pihaknya tidak menjangkakan akan tewas di kelima-lima kerusi berkenaan dan akan melihat bagaimana perkara berkenaan boleh diatasi.
“Kita akan buat post-mortem kenapa kekalahan ini berlaku. Mungkin kita akan lihat bagaimana perkara ini harus kita atasi, bagaimana penyampaian maklumat kepada mereka ini apabila ia berlaku ini keputusan yang terjadi pada mereka di luar sana,” katanya selepas pengumuman kemenangan Kerajaan Perpaduan di Klana Resort, di sini, hari ini.
Jelas Aminuddin, kemenangan BN-PH kali ini adalah kemenangan indah kerana sebelum ini kedua-duanha saling bersaing sesama sendiri.
“Kali ini kita nampak satu kesepakatan yang tak pernah terfikir oleh kita bekerja sebagai satu pasukan dan kita merasai kemenangan juga sebagai satu pasukan.
“Inilah kemenangan yang kita harapkan dan saya yakin selepas ini masyarakat di luar sana akan melihat ini adalah pasukan terbaik yang pastinya akan memberikan banyak kebaikan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE