SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakan jawatan serta-merta.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peletakan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai tanggungjawab moral susulan penolakkan besar-besaran orang Melayu dan bukan Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Katanya, PN berjaya memenangi 146 daripada 245 calon atau 60 peratus kerusi ditandingi mereka.
“Ini adalah satu pencapaian memberansangkan kepada PN selain berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti kecil Melayu seperti Derga.
“Maka benarlah PRN ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu diterajui Anwar dan Zahid,” katanya pada sidang akhbar PN di sini, hari ini.
Kata beliau, pembuktian juga dapat ditunjukkan menerusi kemenangan besar di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Malah, Muhyiddin menegaskan, PN telah berjaya memenangi 22 kerusi berbanding lima kerusi yang disandang PN sebelum ini.
“Kejayaan itu bermakna PN menafikan majoriti dua pertiga majoriti PH-BN di Selangor yang merupakan kubu kuat mereka. Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, PN akan berjaya merampas Selangor,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan gelombang sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang juga telah membawa kejayaan besar kepada PN dengan menang 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.
“Ini membuktikan PN adalah wadah politik bangsa Melayu pada masa kini berbanding UMNO yang tidak lagi relevan dengan hanya memenangi 19 kerusi darkpda 108 kerusi ditandingi mereka,” katanya. – KOSMO!ONLINE