PETALING JAYA – Calon ‘heavy weight’ ataupun nama-nama besar yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 kali ini masih boleh meneruskan karier politik mereka dengan membuat penambahbaikan sebelum bertanding semula dalam pilihan raya akan datang.
Menurut Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, walaupun tewas, itu tidak menjadikan karier politik mereka akan berakhir.
“Mana-mana calon yang berumur bawah 50 tahun, bawah 30 tahun, malah bawah 60 tahun, mereka masih lagi berpeluang untuk bertanding semula pada masa akan datang.
“Mereka boleh memberi fokus kepada kawasan yang mana mereka kalah untuk kenal pasti apa kekurangan mereka di situ, apa yang perlu disantuni,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Awang Azman berkata, calon-calon yang tidak berjaya perlu bekerja lebih keras lagi dalam tempoh lebih kurang lima tahun ini sebelum dapat bertanding untuk pilihan raya seterusnya.
“Sekarang ini ada sekitar masa lima tahun lagi untuk mereka membaiki dan meningkatkan lagi prestasi mereka,” tambahnya.
Terdahulu, PRN di enam buah negeri semalam menyaksikan beberapa nama besar gagal merebut kerusi yang ditandingi mereka.
Antaranya ialah, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu tewas kepada penyandang kerusi berkenaan, Mohd. Radzi Mat Amin dengan majoriti 6,373 undi. – KOSMO! ONLINE