KUALA TERENGGANU – Veteran UMNO, Tan Sri Idris Jusoh mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur berikutan kekalahan besar dialami parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Bekas Pengerusi Felda itu berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO wajib memikul bertanggungjawab atas prestasi teruk BN di enam negeri terbabit termasuk Terengganu.
“UMNO kalah teruk di PRN semalam. UMNO kalah 100 peratus di Terengganu. Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” katanya menerusi akaun Facebook peribadinya hari ini.
Idris merupakan Pengerusi UMNO Terengganu yang menggerakkan Gelombang Biru bagi membolehkan BN kembali merampas kerajaan negeri Terengganu daripada Pas pada 2004.
BN mencapai prestasi buruk dalam PRN-15 apabila memenangi 18 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi di enam negeri.
Sebanyak 14 kerusi DUN itu dimenangi di Negeri Sembilan manakala BN tewas dalam semua kawasan ditandingi di Terengganu dan Kedah.
Di Terengganu, BN gagal mempertahankan semua 10 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ia termasuk di kubu kuat dan tradisi UMNO di Terengganu termasuk Telemung, Kijal, Kuala Besut Hulu Besut, Seberang Takir dan Jertih.
Dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Abdul Razif Abd. Rahman juga tumbang mengejut di kawasan masing-masing. – KOSMO! ONLINE