SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan cuti peristiwa untuk Negeri Sembilan sempena kejayaan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Isnin ini.
Beliau berkata, cuti berkenaan susulan kejayaan parti gabungan Barisan Nasional (BN) dan PH memenangi 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, sekaligus membentuk majoriti dua pertiga undi.
Menurutnya, selepas cuti peristiwa berkenaan, semua jentera akan meneruskan gerak kerja bagi membantu rakyat di negeri ini.
“Saya nak umumkan harini cuti peristiwa istimewa untuk Negeri Sembilan. Kita berehat sehari dua, selepas itu buat kerja pastikan kita bantu rakyat di Negeri Sembilan ini,” katanya selepas pengumuman kemenangan Kerajaan Perpaduan di Klana Resort, di sini, hari ini.
Pada PRN ini, Pakatan Harapan memperoleh 17 kerusi DUN, 15 (14 kerusi) dan Perikatan Nasional (lima kerusi).
Selain Negeri Sembilan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut mengumumkan Isnin depan sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan PH dan BN menang dalam PRN.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengumumkan hari Ahad sebagai cuti peristiwa sempena PRN.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera Kerajaan Perpaduan termasuk MIC, MCA yang turut bekerja bagi memastikan kemenangan.
“Sejarah bersama, menang bersama kita kerana gerakan bersama kita. Walaupun kita tahu kita ada lima kerusi tak dapat kita pertahankan, kita akan bekerja untuk pastikan kelima-lima kerusi kita menang.
Malah menurut beliau, kerjasama serta keputusan hari ini juga diharap akan dapat diteruskan untuk bekerja dengan lebih kuat pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE