PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya membuat dua laporan polis yang masing-masing berkaitan wajahnya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk penipuan serta gangguan seksual oleh seorang individu tidak dikenali.
Menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram, Zara atau nama lengkapnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin berkongsi dua laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
Ujar pelakon berusia 38 tahun itu, laporan polis terbabit adalah bagi tujuan pengajaran selain ingin memberi keadilan ke atas dirinya yang telah menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
“Anda berani buat, jangan fikir saya tidak berani untuk ambil tindakan. Saya telah mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis ke atas dua individu.
“Seseorang telah terlibat menggunakan nama dan gambar saya untuk penipuan atau scam pelaburan secara dalam talian (menggunakan nama kerja kosong Ipoh 2023) baru-baru ini,” tulisnya.
Dalam perkongsian yang dibuat itu, pelakon yang pernah membintangi drama Pia itu turut berkongsi tangkap layar iklan kerja yang diiklankan dalam Facebook menggunakan nama serta wajahnya.
Bagi laporan polis kedua pula, Zara mengambil tindakan kerana menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang mengganggunya sejak beberapa bulan lalu.
Kata Zara, individu terbabit telah mengganggunya secara lisan dengan menghantar gambar-gambar tidak sopan (lucah) selain membuat panggilan telefon bertubi-tubi sehingga membuatkan emosinya terganggu.
“Gangguan ini berlaruan sejak beberapa bulan lepas sehingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan saya.
“Terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana telah mengambil keterangan saya. Diharapkan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pelaku-pelaku ini,” kata Zara.
Meninjau dalam ruangan komen, ramai pengikutnya bersetuju apabila Zara berani membuat laporan polis demi menjaga keselamatan terutama membabitkan individu yang mengganggunya.
“Tindakan patut diambil untuk individu sebegitu supaya tidak melakukannya terhadap orang lain,” kata seorang pengguna Instagram.
“Tolong jaga diri. Takut si pelaku jadi lebih aktif,” nasihat seorang peminatnya.
“Jaga diri Zara. Bagus awak buat laporan polis. Pastikan berteman kalau pergi ke mana-mana,” ujar seorang netizen. – KOSMO! ONLINE