fbpx

Dua nama disebut-sebut calon Menteri Besar Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mohamed Fadzli dan Mohd. Nassuruddin antara dua nama disebut-sebut menjadi calon Menteri Besar Kelantan.

KOTA BHARU – Siapa calon Menteri Besar Kelantan yang baharu masih menjadi teka-teki apabila Perikatan Nasional (PN) masih belum mengeluarkan tiga nama calon berkenaan yang bakal menerajui negeri tersebut sehingga petang semalam.

Setakat ini, dua nama disebut-sebut iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang memenangi DUN Temangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin.

Seorang lagi ialah Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.

Kelantan bakal mendapat MB baharu selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah tidak dilantik semula memegang antara dua jawatan tersebut.

Selain itu, Ahmad juga sudah memaklumkan bahawa beliau menolak untuk memimpin Kelantan apabila mengakui diri­nya sudah uzur selain mempunyai masalah slip disc (tulang ra­wan tergelincir) dan jantung.

Sehubungan itu, Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan memaklumkan bahawa parti tersebut akan menyerahkan tiga nama calon MB bagi menggantikan beliau selepas PRN.

Bagaimanapun, sehingga semalam, tiga nama calon itu masih belum diketahui atau diumumkan oleh PN Kelantan meskipun MB Kelantan yang baharu bakal mengadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk me­ngangkat sumpah esok.

Setakat ini, nama Mohamed Fadzli dan Mohd. Nassuruddin sangat kuat diperkatakan untuk menerajui Kompleks Kota Darulnaim iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan.

Mereka berdua juga dilihat boleh digandingkan bagi jawatan MB dan Timbalan Menteri Besar selaras dengan ketetapan Pas Pusat yang mahukan gandingan ulama dan teknokrat bagi jawatan tersebut.

Berdasarkan rekod, Mohd. Nassuruddin merupakan calon bagi golongan ulama, manakala Dr. Mohamed Fadzli teknokrat.

Pada PRN Kelantan kelmarin, Pas memenangi 43 daripada 45 kerusi DUN, manakala gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional memperoleh dua kerusi sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI