fbpx

BN Kedah akur dengan kekalahan, ucap tahniah kepada PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan kekalahan dan menerima keputusan dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) Kedah akur dengan kekalahan dan menerima keputusan dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tetap berterima kasih kepada seluruh rakyat negeri ini dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) yang berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras sepanjang kempen PRN kali ini.

“Kita akur dan menerima kekalahan ini kerana inilah adat pertandingan dengan akan ada pihak yang kalah dan ada yang menang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, BN tetap berlapang dada dan menghormati keputusan rakyat Kedah yang menolak untuk meletakkan kepercayaan di tangan Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut menasihatkan semua ahli UMNO dan BN Kedah untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan pada PRN kali ini.

“Saya nak berpesan kepada semua ahli UMNO dan BN untuk bertenang dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Kita telah berusaha menawan hati pengundi bukan hanya semasa kempen PRN sahaja, malah dari dulu lagi kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat tetapi apabila rakyat mengambil keputusan tidak memilih BN, kita redalah dengan ketentuan Allah,” ujarnya.

Tambahnya, beliau yang juga calon di DUN Pedu menerima kekalahannya dengan hati yang terbuka.

“Saya mendoakan semoga pengundi di Pedu akan mendapat segala kebaikan selepas membuat pilihan menolak saya dan mengekalkan wakil rakyat berkenaan,” katanya.

Mahdzir tewas kepada calon PN yang juga penyandang kerusi, Mohd. Radzi Md Amin dengan majoriti 6,373 undi.

Beliau memperoleh 8,024 undi, ketinggalan agak jauh dengan Mohd Radzi yang meraih 14,397 undi.

Mantan Menteri Besar Kedah itu pernah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu selama dua penggal pada 2004 hingga 2013. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI