fbpx

Bandar Lahaina di Hawaii jadi abu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANDAR Lahaina hangus dijilat api dalam kebakaran hutan kelmarin. -- AFP

WASHINGTON – Apabila Anthony La Puente pulang ke tempat yang menjadi kediamannya sejak 16 tahun lalu, hampir semuanya menjadi abu.

Rumahnya seperti kebanyakan kediaman lain di bandar Lahaina, musnah dalam kebakaran hutan dahsyat yang melanda Pulau Maui, Hawaii minggu ini.

“Apa yang saya dapat katakan ialah kesedihan. Ia memberi tekanan kepada emosi anda,” kata lelaki berumur 44 tahun itu.

La Puente merupakan antara berpuluh-puluh penduduk yang dibenar pulang ke Lahaina yang dahulunya indah tetapi menjadi abu kelmarin.

Bandar yang mempunyai 12,000 penduduk itu berdiri teguh di Pulau Maui selama beratus-ratus tahun dan pernah menjadi tempat tinggal keluarga diraja Hawaii.

Beribu-ribu pelancong melawat Lahaina setiap tahun untuk menyaksikan panorama indah tepi pantai dan melihat pokok beringin besar yang dipercayai tertua di Amerika Syarikat (AS).

Sebuah pasukan AFP meninjau sekitar bandar itu kelmarin dan menemui hanya bangkai rentung kucing, burung dan haiwan lain yang terperangkap dalam kebakaran besar itu.

Kabel-kabel elektrik pula berjuntai daripada tiang dan sebilangan api kecil terus menyala.

Di keseluruhan bandar itu, timbunan abu yang masih panas kelihatan di mana-mana sahaja.

Bot-bot yang diletakkan di jeti beberapa hari sebelumnya kelihatan sama ada hitam, mencair atau tenggelam.

Antara kemusnahan yang dilihat, pokok beringin itu masih berdiri, namun batangnya bertukar hitam dan rentung.

Pokok itu mendominasi Lahaina selama 150 tahun ketika pulau itu masih mengamalkan sistem monarki sebelum menjadi wilayah dan akhirnya negeri AS sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negeri Hawaii, Anne Lopez menyatakan kelmarin bahawa beliau membuka kertas siasatan tentang bagaimana kebakaran hutan dahsyat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang itu ditangani.

“Jabatan saya komited untuk memahami keputusan yang dibuat sebelum dan semasa kebakaran hutan berlaku serta berkongsi hasil siasatan dengan orang awam,”katanya.

Terdahulu, seorang lelaki dikenali sebagai Todd, 64, berkata, rumahnya dan kediaman jirannya masih selamat, manakala panel solarnya juga masih membekalkan kuasa elektrik kepada peti sejuk yang berfungsi seperti biasa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa segelintir kediaman yang masih kelihatan sempurna di Lahaina adalah tidak selamat.

“Sesetengah struktur sistem bekalan air di Lahina musnah dalam kebakaran hutan ini. Ia mungkin mencetuskan pencemaran berbahaya termasuk benzena dan bahan kimia organik mudah berubah yang memasuki sistem bekalan air,” kata Jabatan Bekalan Air Maui dalam satu kenyataan.

Sementara itu, angka korban rasmi meningkat kepada 67 orang, melepasi bilangan mangsa yang terbunuh apabila tsunami melanda Pulau Besar Hawaii dalam tahun 1960.

“Tanpa kesangsian lagi, angka korban kebakaran hutan ini akan terus meningkat. Kami tidak tahu berapa lagi kebakaran hutan yang akan berlaku,” kata Gabenor Hawaii, Josh Green.

Ketua Polis Daerah Maui, John Pelletier menyatakan pada Khamis lalu bahawa nasib seramai 1,000 orang masih tidak diketahui, namun ia bukan bermakna mereka telah meninggal dunia atau hilang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI