ALOR SETAR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menyuarakan keyakinan Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Dr. Mahathir beranggapan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pula mempunyai harapan untuk mengekalkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya yakin, Kedah ini PN boleh menang lagi. Saya fikir kita (PN) ada peluang di Kelantan, Terengganu dapat ke PN.
“Di Selangor, Negeri Sembilan masih ada peluang kepada PH. Pulau Pinang PN sukar (menang) sebab tak banyak kawasan yang PN boleh menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuang undi bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di sini hari ini
Mengulas tentang referendum rakyat yang dibangkitkan pemimpin PN, kata Dr. Mahathir, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya PH dan BN mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Ia (kekalahan PH-BN) menghantar satu mesej kepada Kerajaan Pusat iaitu rakyat punya pendirian, perasaan rakyat. Kalau PH-BN kalah dia patut ambil berat tentang penolakan kerajaan PH-BN ini oleh rakyat
“Kalau berlaku di peringkat negeri jadi ada kemungkinan berlaku juga di peringkat Pusat tetapi kita harus ingat dahulu UMNO menang di Melaka dan Johor, tetapi kalah teruk seluruh negara, jadi kita tak boleh ambil itu sebagai petanda yang tepat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE