PETALING JAYA – Pengurus kepada Mimi Lana, Iman Tang menepis dakwaan aktres terbabit dan tunangnya, Syafiq Kyle telah melangsungkan pernikahan malam tadi.
Iman berkata, media atau mana-mana pihak sewajarnya mendapatkan pengesahan sebelum mengeluarkan khabar yang mereka sendiri tidak pasti.
“Siapa yang pandai-pandai cakap (pernikahan itu) semalam?
“Sebagai portal atau media kenalah buat kepastian dulu,” ulasnya menerusi balasan kiriman mesej Whatsapp kepada Kosmo! Online
Iman yang menyatakan sudah berada dalam pesawat turut memaklumkan akan memberi kenyataan lanjut jika terdapat sebarang perkembangan.
“Kalau ada apa-apa perkembangan terbaru saya akan maklumkan nanti,” katanya lagi.
Terdahulu, Mimi dan Syafiq mengejutkan ramai apabila membatalkan majlis pernikahan dan resepsi yang dijadualkan berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang pada 18 Ogos ini.
Difahamkan dua majlis sepatutnya diadakan pada tarikh tersebut iaitu ijabkabul waktu pagi, disusuli majlis resepsi sebelah malam, juga di lokasi sama.
Menurut Iman, pembatalan majlis pernikahan pasangan terbabit bukan disebabkan krisis peribadi, sebaliknya mereka sedang mencari tarikh baharu.
Dalam kenyataan awal, Iman berkata pembatalan dibuat kerana artis jagaannya itu terikat dengan jadual penggambaran, selain terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan dengan Syafiq.
Terdahulu, tular mesej yang memaklumkan majlis pernikahan pasangan pelakon filem Pusaka itu dibatalkan pada saat akhir atas faktor yang tak dapat dielakkan.
Perkara itu mendatangkan kejutan memandangkan hanya berbakim seminggu sahaja lagi mereka akan bergelar suami isteri.
Susulan daripada itu, sebuah portal melaporkan mengenai spekulasi Mimi, 27,dan Syafiq, 31, sudah bernikah malam tadi. – KOSMO! ONLINE