KUALA TERENGGANU – Seorang isteri tidak menyangka panggilan telefon daripada suaminya malam kelmarin merupakan kali terakhir mereka berhubung sebelum pemandu kereta sewa itu ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam kenderaan berkenaan dalam kejadian di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus di sini.
Noor Azlina Ramli, 41, berkata, suaminya, Mohd. Latif Idris, 51, membuat panggilan telefon itu pada pukul 8 malam untuk memberitahu dia dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan.
Suri rumah itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas kejadian itu tular di media sosial.
“Pada hari kejadian, suami keluar pukul 9 pagi untuk mencari penumpang sebelum balik sebentar ke rumah pada pukul 1 tengah hari untuk mengambil anak bongsu, Eliy Syazwani, 16, dari sekolah.
“Arwah kemudian keluar semula pada pukul 2.30 petang untuk menghantar barang ke Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Parit di sini semalam.
Noor Azlina berkata, sewaktu berhubung dengan Mohd. Latif menerusi panggilan telefon, dia tidak sempat bertanyakan lokasi suaminya ketika itu.
Katanya, sudah menjadi rutin suaminya balik lewat malam sekiranya menghantar penumpang atau barang ke luar Terengganu.
Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Muhammad Nasha Fikri, 20, menyifatkan bapanya sebagai seorang bapa yang penyayang dan bertanggungjawab.
Katanya, arwah bapanya akan mengambil adiknya, Eliy Syazwani dari sekolah setiap hari selain membawa mereka sekeluarga bercuti pada hujung minggu.
“Tiada perubahan sikap ditunjukkan ayah cuma dia sempat memberitahu ‘nak pergi dah ni’ selepas menghantar adik pulang ke rumah semalam (kelmarin).
“Arwah tidak pernah berpesan begitu sebelum ini tetapi kami tidak syak apa-apa,” katanya.
Sementara itu, kejadian yang menimpa Mohd. Latif itu mula disedari selepas orang ramai curiga mengenai sebuah kereta sewa yang dipandu melawan arus di Seberang Takir di sini.
Dalam kejadian pada pukul 10.56 malam itu, mangsa, Mohd. Latif Idris, 51, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk penumpang belakang.
Sebelum itu, kereta sewa yang dipandu suspek berusia 29 tahun telah dipandu secara melawan arus sehingga melanggar beberapa kenderaan lain berhampiran bulatan Kampung Seberang Takir di sini.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya mengejar kereta sewa terbabit sebelum kenderaan itu dikatakan terbabas di tepi jalan berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini.
Mereka yang menahan suspek dalam keadaan berlumuran darah terkejut menemui mayat mangsa di tempat duduk belakang sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abduo Rahim Md. Din berkata, pemeriksaan awal menjumpai kesan kecederaan parah pada leher Mohd. Latif.
Tambah beliau, suspek juga mengalami kecederaan pada bahagian jari dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa.
“Pemeriksaan dalam kereta sewa itu telah menemui sebilah pisau pada pelapik kaki tempat duduk pemandu.
“Setakat ini, motif pembunuhan tersebut masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, suspek yang sedang dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.