SIK – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang, di sini pada pukul 11 pagi tadi.
Beliau yang juga penyandang kerusi tersebut tiba di pusat mengundi tersebut bersama isteri, Toh Puan Jusmalailani Jusoh.
Muhammad Sanusi yang mengundi di saluran dua selesai menunaikan tanggungjawabnya kira-kira 20 minit kemudian dan dilihat turut beramah mesra dengan pengundi lain di pusat mengundi berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kedah yang keluar mengundi.
“Undi ikut pilihan masing-masing, itu hak masing-masing,” katanya.
Muhammad Sanusi mempertahankan kerusi DUN Jeneri dalam pertembungan dua penjuru dengan calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Sementara itu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi DUN Jeneri dengan majoriti sebanyak 2,455 undi.
Beliau menewaskan pesaingnya ketika itu, Mahadzir Abdul Hamid (BN-UMNO) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PH-Bersatu). – KOSMO! ONLINE