SEPANG – Seorang remaja perempuan, Aina Atiqah Arzami, 19, bertuah apabila diraikan penuh mesra oleh petugas pusat mengundi selepas menjadi pengundi terakhir di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jenderam, petang tadi.
Aina tiba di pusat mengundi kira-kira pukul 5.55 petang sebelum dibenarkan membuang undi oleh petugas pilihan raya.
Dia yang berasal dari Kampung Jenderam Hulu berkata, dia mengakui sedikit gementar kerana menjadi individu terakhir di pusat mengundi ini.
“Saya juga terkejut kerana diraikan begitu mesra oleh petugas pilihan raya di pusat mengundi ini.
“Ini adalah pengalaman pertama saya mengundi pada pilihan raya. Saya juga tidak sempat untuk mengundi pada pilihan raya umum lalu. Saya akui sedikit gementar namun, perasaan itu hilang selepas disambut mesra dan dibantu oleh petugas pilihan raya,” katanya.
Katanya, dia lewat keluar dari rumah untuk mengundi kerana ibu bapanya tiada di rumah dan bernasib baik apabila dihantar oleh ayah saudaranya ke pusat mengundi. – KOSMO! ONLINE