PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun merayu orang ramai untuk keluar menunaikan tanggungjawab berikutan lokasi tempat beliau mengundi, lengang.
Menerusi Facebooknya sebentar tadi, Asma’ berkata, keadaan tersebut jauh berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Tempat kami mengundi lengang, jauh beza dengan PRU hari tu, bahaya bila kita anggap Pilihan Raya Negeri (PRN) kurang penting.
“Tak ramai perantau balik, katanya cuti sehari sebelum tak lulus untuk alasan mengundi. Yang dekat, tolonglah pergi mengundi,” katanya.
Asma’ semalam memaklumkan, beliau sekeluarga telah memulakan perjalanan pulang ke Terengganu, demi melaksanakan kewajipan (mengundi).
Menerusi hantaran tersebut, ada dalam kalangan orang ramai turut berkongsi pengalaman serupa.
“Memang lengang. Saya masuk tak sampai dua minit, selesai mengundi. Diharap petang-petang ni akan ramai yang hadir balik dari kerja kot,” kata Ibu Zarah.
“Betul sangat, kat DUN Tanjung Dawai pun lenggang. Allahuakbar, kita yang jauh balik tapi sayang yang duduk di sekitar buat tak peduli. Tadi pergi kedai tengok jari, bersih. Tanya mengundi ke, senang mereka jawab malas nak campur. Sedih dengar,” kongsi seorang pengguna.
“Sama la ustazah, dekat Pengkalan Kubor, Tumpat pun. Tak rramai yang datang mengundi,” ujar Nik Niejaa. – KOSMO! ONLINE