SEBERANG PERAI – Keuzuran bukan menjadi penghalang buat warga emas, Siti Zainab Wazi, 83 tahun untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Beliau yang bersemangat hadir dengan berkerusi roda di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, di sini ditemani dua cucunya, Anis Nabilah, 26 dan Farah Afifah Mohd Azman,19.
Katanya, beliau tiba di pusat mengundi berkenaan tepat pukul 8 pagi dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantunya untuk membuat proses semakan maklumat sekali gus memudahkan pergerakannya ke bilik membuang undi.
“Memang selalu mak cik mai awal, mudah waktu pagi tak ramai sangat dan semuanya lancar, cuaca pun tak berapa panas.
“Mak cik tak ingat dah berapa kali mengundi, tapi yang pasti setiap kali pilihan raya mak cik dan ahli keluarga akan sama-sama tunaikan tanggungjawab untuk pilih wakil rakyat kawasan kami,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tiga beradik dari Tanah Liat, Bukit Mertajam turut memilih untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Nurul Aisha Norazlie,18, teruja apabila pertama kali terlibat dalam proses demokrasi pada PRN kali ini dan tiba di pusat mengundi terbabit bersama kakak dan abangnya, Alani Fatini Norazlie, 20; Firas Faiq Norazlie, 20 pada pukul 8 pagi tadi.
“Tak sangka proses untuk mengundi cuma ambil masa beberapa minit sahaja. Saya harap dengan satu undi yang diberikan ini akan dapat memberi kemenangan kepada calon pilihan.
“Adalah menjadi harapan kami agar wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menunaikan segala janji dan melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE