HULU TERENGGANU – Tiga beradik warga emas berusia antara 84 hingga 97 tahun bersyukur kerana masih dipanjangkan umur bagi mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Esah Bilal Saman, 97, mengundi di pusat mengundi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanggol manakala dua adiknya, Buyah, 95,dan Halimah, 84, pula di SK Langgar di sini.
Mereka yang merupakan anak pasangan Allahyarham Bilal Saman Daud dan Fatimah Yusof dibantu anak dan cucu masing-masing untuk ke pusat mengundi terbabit.
Anak Halimah, Gayah Ngah, 59, berkata ketig-tiga beradik itu masih lagi dikurniakan kesihatan yang baik namun perlu dipimpin sewaktu berjalan.
“Ibu saya anak bongsu daripada empat beradik, Esah anak sulong dan Buyah anak pula nombor dua. Adik-beradik mereka yang nombor tiga serta satu-satunya lelaki telah lama meninggal dunia.
“Hubungan mereka tiga beradik ini begitu akrab. Setahu saya, mereka mengundi sudah hampir 20 kali termasuk beberapa pilihan raya kecil.
“Ibu saya pernah bercerita, dulu dia serta kakak-kakaknya pergi mengundi bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Kejir di sini hari ini.
Gayah berkata, dia membawa ibunya, Halimah ke pusat mengundi pada pukul 12 tengah hari.
Dia berkata, PRN amat meriah tidak ubah seperti sambutan Hari Raya yang menjadi medan ahli keluarga tinggal berjauhan kembali berkumpul. – KOSMO! ONLINE