GOMBAK – Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2 di sini pada pukul 8.53 pagi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini
Muhammad Hilman hadir bersama pegawai pengiring pada pukul 8.43 pagi tadi dan terus bergerak ke saluran lapan untuk proses buang undi.
Ketika ditemui pemberita, Muhammad Hilman berkata, beliau yakin akan kekal mempertahankan kerusi DUN Gombak Setia.
“Kalau saya ada keyakinan untuk bertanding, saya juga ada keyakinan untuk menang,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Muhammad Hilman juga menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus pengundi Gombak Setia hadir membuang undi
“Pengundi turut dinasihatkan untuk keluar awal kerana mengikut ramalan cuaca sebelum ini, beberapa kawasan di Selangor bakal dilanda hujan lebat pada sebelah petang,” pesannya.
Muhammad Hilman berdepan dengan dua pencabar lain iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali. – KOSMO! ONLINE