fbpx

PRN: Mohd. Amar tiada masalah jika tidak lagi dilantik TMB Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Amar (kiri) dan isterinya, Datin Hasmani Hussain selepas mengundi di SK Panji, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED / KOSMO!

KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah menegaskan beliau tiada masalah jika namanya tidak lagi dipilih untuk sebarang jawatan dalam kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, keputusan mengenai Menteri Besar (MB) dan TMB ditentukan pimpinan parti terutamanya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan perlu mendapat perkenan daripada Istana Kelantan.

“Ia merupakan proses biasa yang perlu dilalui. Saya sendiri tiada masalah sekiranya tidak dinamakan sebagai MB atau TMB. Sebelum ini, saya tiada sebarang jawatan dan tidak pernah meminta jawatan apa pun. Sekiranya parti mahukan, kita perlu akur dan terima tanggungjawab itu.

“Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat pada Khamis lalu dan belum ada sebarang makluman sehingga hari ini. Kita tunggu perkembangan selepas ini. Saya sendiri tidak tahu siapa MB dan TMB Kelantan kerana ia akan diputuskan oleh Presiden,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas memberitahu, pemilihan calon MB dan TMB merupakan proses normal dalam Pas dan kebiasaannya nama dua jawatan tersebut dicadangkan oleh MB sedia ada.

“Sebenarnya, Datuk Ahmad Yakob (MB Kelantan) tidak berhasrat untuk mengekalkan jawatannya. Beliau minta untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi, tetapi presiden merasakan beliau perlu ada untuk memimpin negeri.

“Cuma kali ini beliau (Ahmad) mohon sekali lagi dengan bersungguh-sungguh. Jadi, presiden pertimbangkan termasuk atas masalah kesihatan dan faktor usianya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan spekulasi yang mengatakan beliau dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takyuddin Hassan bertengkar seperti yang tular di media sosial disifatkan sebagai mengarut.

“Macam mana mereka boleh reka perkara itu dan tangkap layar itu siapa punya? Apabila dia ambil gambar dengan saya, takkanlah Datuk Takiyuddin pun ada.

“Jadi, ia betul-betul rekaan untuk merosakkan hubungan kami dan menimbulkan satu imej yang negatif dalam kalangan pimpinan Pas. Kita tidak pernah bergaduh. Apa-apa isu kita bawa dan bincang dalam mesyuarat,” tegasnya.

Katanya, situasi tegang dalam mesyuarat adalah perkara biasa kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri terutamanya dalam membuat sesuatu keputusan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI