TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memohon maaf kepada pihak media yang menunggu beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini untuk membuang undi sejak pagi tadi.
Ahmad yang merupakan calon Pas bagi penggal ke tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan tiba kira-kira pukul 3.20 petang untuk mengundi di saluran satu.
Beliau meminta maaf kepada pihak media di atas kelewatannya kerana perlu menghadiri beberapa jemputan kenduri kahwin dan mengadakan lawatan di beberapa buah pusat mengundi di DUN Pasir Pekan.
“Minta maaf atas kelewatan saya, wartawan menunggu saya sejak awal pagi lagi. Selepas ini, wartawan boleh balik mengundi di DUN masing-masing,” katanya ditemui di SMK Kampung Laut di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, tinjauan di beberapa pusat membuang undi di DUN Pasir Pekan pada sebelah pagi mendapati saluran lima dan enam yang terdiri daripada pengundi muda kurang mendapat sambutan.
Katanya, sehubungan itu, semua pengundi terutamanya pengundi muda perlu keluar membuang undi sebelum pusat mengundi ditutup pada pukul 6.
“Peratus keluar mengundi bagi negeri Kelantan sangat rendah berbanding negeri Terengganu dan Kedah. Jadi, pengundi boleh memanfaatkan masa yang berbaki beberapa jam lagi untuk keluar menunaikan tanggungjawab tersebut. Kita khuatir akan hujan pada sebelah petang ini,” katanya.
Pada PRN kali ini, Ahmad yang merupakan penyandang kerusi DUN Pasir Pekan akan menentang cabaran calon Pakatan Harapan, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, Ahmad menang dengan majoriti 8,352 undi dengan menewaskan Wan Sanusi Wan Yunus (Barisan Nasional) dan Wan Johari Wan Omar (PKR).
Ahmad meraih 14,298 undi, Wan Sanusi (5,946 undi) dan Wan Johari (2,140 undi). – KOSMO! ONLINE