SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pengundi di enam negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) keluar lebih awal bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih hari ini.
Anwar berkata, daripadanya pemantauannya mendapati suasana pengundian kali ini berjalan secara aman.
“Saya minta pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Musim kempen sudah selesai, jadi kembali bersilaturrahim.
“Mengundi dengan aman, harap keluar awal dan jangan tangguh tanggungjawab untuk mengundi lebih awal,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik selesai mengundi Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti di Permatang Pauh di sini, kira-kira 9.40 pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau yang merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu yang pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan berjalan tugas seperti biasa mulai esok.
“Kita akan meneruskan kerja kita dan keputusan akan menentukan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar tiba di SK Seri Penanti bagi membuang undi pada pukul 9.33 pagi tadi dan selesai melaksanakannya selepas lima minit kemudian.
Anwar dilihat mengenakan baju kemeja biru cerah lengan panjang sama seperti yang dikenakannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE