KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) fizikal tidak menjadikan kekurangan dirinya itu sebagai halangan untuk keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas di Sekolah Kebangsaan (SK) Islah di sini hari ini.
Mohd. Saiful Fahmi Yaakub, 36, yang tidak boleh berjalan dan bercakap ditemani bapanya, Yaakub Harun, 63, yang menolak kerusi roda yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi itu bersama abang, Mohd. Adli, 39, dan adik, Siti Khadijah Farhana, 33.
Yaakob berkata, meskipun anaknya tidak mampu bercakap, dia memahami setiap soalan yang diajukan kepadanya.
Menurutnya, Mohd. Saiful Fahmi tetap bersemangat untuk mengundi kerana mahu menunaikan tanggungjawab bagi memilih pemimpin yang boleh membantu rakyat.
“Dia bangun awal hari ini dan bersiap untuk keluar mengundi kerana tidak mahu bersesak dengan orang ramai.
“Saya bersyukur kerana Mohd. Saiful Fahmi sentiasa diberi keistimewaan apabila dapat mengundi awal dengan bantuan petugas SPR,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Yaakob memberitahu, Mohd. Saiful Fahmi yang juga anak kedua daripada lima beradik tidak pernah ketinggalan untuk keluar mengundi meskipun dia perlu diusung dari rumah untuk menaiki kereta.
Mohd. Saiful Fahmi ketika ditanya perasaan dan semangat untuk mengundi, dia hanya mengangguk sambil tersenyum.
Sementara itu, seorang wanita cacat pendengaran dan bisu, Normazni Mohd. Sharipudin, 40, berkata dia sudah empat kali menunai tanggungjawab sebagai pengundi.
Dia yang baru mendirikan rumah tangga sejak setahun lalu berharap pemimpin yang dipilih di DUN Tanjung Mas akan membela rakyat terutamanya golongan yang miskin.
“Suami saya, Mohd. Badrul Shahlan Ahmad, 29, bekerja di pusat kitar semula. Saya harap wakil rakyat akan membantu memberi baucar untuk pembelian barang dapur untuk kami sekeluarga.
“Selain pendapatan suami, kami berdua hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE