SEBERANG PERAI – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini dilihat sedikit suram berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Seorang peniaga yang juga pengundi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar, Hasni Saad, 58, berkata, ini kemungkinan berlaku disebabkan ada dalam kalangan pengundi tidak pulang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Melalui pengamatan saya, memang nampak ketaralah (kehadiran pengundi) di sini. Kalau sebelum ini (PRU-15) saya dah boleh nampak orang ramai berpusu keluar mengundi. Jalan pun sesak sejak awal pagi.
“Tapi hari ini agak suram. Mungkin ada pengundi tidak balik (mengundi) atau mungkin pengundi lain ingin keluar mengundi lewat sedikit,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang anak perantau dari Kuala Lumpur, Muhammad Ridzuan Rosli, 31, berkata, suasana di tempat mengundi juga lebih tenang malah proses mengundi juga dikatakan tidak mengambil masa yang lama.
“Jika masa PRU15 lepas proses buang undi memakan masa sehingga setengah jam, namun kali ini prosesnya tidak sampai 10 minit.
“Keadaan lalu lintas pun tidaklah sesibuk seperti PRU sebelum ini. Mungkin ada (pengundi) yang mengatur masa untuk keluar mengundi bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas,” katanya yang sudah melakukan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan DUN Telok Ayer Tawar sebanyak tiga kali.
DUN Telok Ayer Tawar menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Abdul Mohsein dengan Ketua Bersatu Bahagian Tasek Gelugor Azmi Alang dengan jumlah bilangan pengundi di situ seramai 24,784 orang. -KOSMO! ONLINE