GOMBAK – Polis sedang melakukan siasatan berhubung video tular yang membabitkan seorang lelaki dikasari anggota polis di hadapan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang dipercayai berlaku di Pantai Timur.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, insiden terbabit mungkin berlaku disebabkan provokasi yang tercetus.
“Saya boleh sahkan kejadian itu berlaku di sebuah IPD di Pantai Timur dan kita masih jalankan siasatan lanjut.
“Mungkin ada provokasi yang berlaku sehingga anggota bertindak sedemikian,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, di sini, hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 14 saat memaparkan seorang lelaki bermotosikal memakai bendera Pas di belakang badannya dikasari anggota polis di hadapan sebuah IPD di Pantai Timur telah tular di media sosial, sejak pagi tadi.
Lelaki terbabit dilihat ditarik jatuh dari motosikalnya sebelum dipukul anggota polis. – KOSMO! ONLINE