KUALA NERANG – Seorang operator mesin memberitahu semangatnya untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini luar biasa menyebabkan dia keluar rumah seawal pukul 7 pagi tadi.
Menurut Suraidi Abdul Razak, 44, dia menjadi orang pertama menunaikan tanggungjawab itu di Sekolah Kebangsaan Naka, dekat sini hari ini.
“Malah, ini juga merupakan kali pertama saya keluar awal mengundi kerana rasa dan semangat untuk membuang undi kali ini cukup berbeza.
“Biasanya saya akan bawa ibu dan ayah mengundi di tempat lain terlebih dahulu sebelum hadir ke sini untuk menunaikan tanggungjawab saya pula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, semangatnya itu adalah bagi memastikan kerajaan negeri ini dibentuk oleh pihak yang benar-benar amanah dan jujur.
Sementara itu seorang warga emas, Teh Hawa Abu Bakar, 71, berkata, dia memilih untuk hadir awal kerana bimbang cuaca hujan pada sebelah petang.
“Kalau dulu semasa sihat, tak perlulah datang awal tetapi apabila sudah berusia dan sakit, kenalah datang awal. Tak perlu berebut dengan orang,” katanya.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid turut hadir menunaikan tanggungjawab mengundi di sekolah sama bersama isterinya, Bushra Mazani.
“Setakat ini proses berjalan lancar dengan tahap keyakinan dan kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat tinggi. Insya-Allah, kita yakin segalanya akan berjalan lancar,” katanya.
SK Naka merupakan satu daripada pusat pengundian melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu yang menyaksikan pertembungan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan penyandang dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Radzi Md. Amin.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohd. Radzi menang DUN Pedu dengan majoriti 670 undi menewaskan calon BN ketika itu, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idrus dari PKR. – KOSMO! ONLINE