KUALA NERUS – Siasatan terhadap kes bunuh seorang pemandu kereta sewa pada Khamis lalu masih belum dapat dijalankan ekoran keadaan kesihatan suspek yang masih tidak stabil.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan parah dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa, Mohd. Latif Idrus, 51.
“Suspek mengalami pendarahan dalaman akibat kesan tikaman yang hampir mengenai paru-parunya.
“Dia masih dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keadaannya masih tidak stabil bagi membolehkan soal-siasat dijalankan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mazli memberitahu, motif kejadian yang meragut nyawa Mohd. Latif tersebut masih belum diketahui.
Kosmo! hari ini melaporkan mayat Mohd. Latif ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan kecederaan pada bahagian leher di tempat duduk belakang kereta sewa miliknya.
Sewaktu kejadian pada pukul 10.56 malam itu, kereta sewa itu dipandu secara melawan arus oleh suspek sehingga melanggar beberapa kenderaan pengguna lain.
Kes pembunuhan itu terbongkar apabila kereta sewa terbabit dikejar orang ramai sebelum terbabas berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini. – KOSMO! ONLINE