KOTA TINGGI – Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) akan menjalankan siasatan berhubung video tular dipercayai anggota penguatkuasanya yang bertindak mengasari orang awam baru-baru ini.
Unit Perhubungan Awam dan Korporat MDKT dalam kenyataan berkata, MDKT mengambil maklum mengenai laporan tersebut.
Katanya, MDKT juga sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu salah laku anggota MDKT.
“Merujuk kepada rakaman video yang tular berkenaan aksi seorang anggota penguatkuasa MDKT yang sedang menggunakan kekerasan pada orang awam baru-baru ini, MDKT mengambil maklum mengenai laporan tersebut.
“Siasatan terperinci terhadap individu di dalam video terbabit sedang dijalankan. MDKT sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu salah laku anggota MDKT.
“Jika didapati bersalah tindakan akan diambil sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 33 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian uniform lengkap memukul kepala dan menyepak seorang lelaki dipercayai berlaku di bandar Kota Tinggi. – KOSMO! ONLINE