fbpx

K2

Kepuasan memburu ‘raja sungai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan kelah bersaiz besar yang berjaya dinaikkan oleh Muhammad Safizi di Sungai Sepia.

AKTIVITI memancing merupakan salah satu hobi yang sangat digilai oleh golongan lelaki, sama ada yang tinggal di kampung mahupun di ibu kota.

Tanyalah kepada mana-mana kaki pancing, antara perkara yang pasti akan terpancul dari mulut mereka mengenai hobi tersebut adalah keseronokan ‘melayan’ tarikan ikan tatkala umpan diragut.

Bagi Muhammad Safizi Ahmad Zaharuddin, 28, faktor itulah yang menarik minatnya untuk memburu pelbagai spesies ikan sungai yang hidup liar di kawasan jeram dan berbatu.

Dia yang berasal dari Jerantut, Pahang itu turut mengakui, kesukaran menjinakkan pelbagai spesies ikan sungai merupakan satu cabaran kepada dirinya.

“Aktiviti memancing memang sudah sebati dengan diri saya, apatah lagi saya dilahirkan dan dibesarkan di Jerantut yang memiliki aliran sungai yang menempatkan banyak lubuk ikan.

“Antara lokasi yang kerap menjadi ‘port’ untuk memburu ikan sungai termasuklah Sungai Sepia dan Sungai Sat yang terletak Hulu Tembeling,” katanya membuka bicara.

Menurut Muhammad Safizi lagi, kedua-dua sungai tersebut kaya dengan ikan air tawar seperti kelah, tengas dan sebarau yang merupakan antara spesies buruan para kaki pancing disebabkan kesukaran untuk mendapatkannya.

Jelasnya, kelah atau turut diberi gelaran ‘raja sungai’ merupakan ikan yang amat sukar untuk dijinakkan kerana spesies itu sangat sensitif dengan sebarang pergerakan.

Sebarau atau dikenali sebagai hampala juga mempunyai karakter yang hampir sama dengan kelah, menjadikannya antara spesies yang sukar untuk diperoleh.

Sebahagian ikan sebarau yang berjaya diperoleh Muhammad Safisi menerusi teknik casting.

Justeru katanya, pemancing perlu bijak mencari lubuk yang menjadi kawasan permainan kedua-dua spesies ikan air tawar tersebut.

“Setiap kaki pancing juga perlu pandai menggunakan teknik yang bersesuaian untuk memburu ‘raja sungai’ ini.

“Hal ini kerana jika tidak kena pada gayanya, pemancing akan pulang dengan tangan kosong.

“Bagi saya, teknik casting dan bottom menjadi kegemaran saya kerana kedua-duanya sangat berkesan bagi memburu kelah dan sebarau.

“Jika menggunakan teknik casting, saya akan pakai gewang atau umpan tiruan bagi menarik perhatian ikan.

“Andai menggunakan teknik bottom pula, saya lebih gemar menggunakan umpan cacing, buah sawit, anak ikan dan udang sungai hidup,” katanya.

Bercakap mengenai waktu yang sesuai untuk memburu ikan sungai tersebut, Muhammad Safizi berkata, biasanya dia akan memburu kedua-dua spesies tersebut ketika cuaca cerah dan sewaktu air sungai jernih.

Jelasnya, pancaran matahari akan menyebabkan gewang yang digunakan menjadi berkilau, sekali gus menarik minat ikan membahamnya.

Muhammad Safizi turut memaklumkan, kedua-dua spesies sungai itu juga boleh diburu selepas hujan dan ketika air deras kerana keadaan tersebut menyebabkan ikan sukar mengesan kehadiran pemancing.

“Untuk memburu ikan kelah atau spesies seumpamanya, saya gemar menggunakan tali pancing jenis benang bersaiz antara hingga 15 paun jika menggunakan teknik casting.

“Bagi teknik bottom pula, saya akan menggunakan tali utama jenis tangsi bersaiz 20 paun dan dipadankan dengan batu ladung bersaiz lima atau enam,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kelah terbesar yang pernah diperoleh, Muhammad Safizi memberitahu, dia pernah menaikkan kelah seberat 5.3 kilogram (kg) ketika memancing di Lubuk Gajah Tunggal, Sungai Sepia.

“Bagi ikan tengas pula, antara saiz terbesar yang diperoleh adalah seberat 1.7 kg, juga di Sungai Sepia,” jelasnya.

Ditanya mengenai hasil tangkapan yang berjaya dijinakkan, Muhammad Safizi memberitahu, jika ada permintaan daripada pelanggan, dia tidak teragak-agak untuk menjualnya memandangkan spesies ‘raja sungai’ itu mempunyai harga tinggi di pasaran.

Bagi ikan kelah katanya, ia boleh dijual sehingga RM250 bagi setiap kilogram, manakala ikan tengas pula boleh dijual pada harga RM150 sekilogram.

Harga bagi ikan sebarau pula lebih rendah berbanding ikan kelah dan tengas, iaitu sekitar RM40 sekilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI