PUTRAJAYA – Jumlah keluar undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terlibat dilaporkan bawah 50 peratus setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, ketika ini, peratusan keluar undi di Kedah ialah sekitar 41 peratus, manakala Kelantan sebanyak 34 peratus.
“Di Terengganu pula ialah 42 peratus selain Pulau Pinang (38 peratus), Selangor (36 peratus) dan Negeri Sembilan (35 peratus).
“Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, peratusan keluar undi ialah 39 peratus setakat 12 tengah hari tadi,” katanya tadi.
Jika diimbas, jumlah keluar undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut mencatatkan peratusan bawah 50 peratus apabila sebanyak 42 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 12 tengah hari.
Hari ini, seramai 9,674,456 pengundi akan mengundi bagi menentukan kerajaan negeri di enam negeri, manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang.
Pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan mengikut jadual masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan. – KOSMO! ONLINE