fbpx

Ibu kandung, ‘tomboy’ dera kanak-kanak 7 tahun direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular menunjukkan badan belakang seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun dipercayai didera ibu kandungnya dan seorang wanita tomboy di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Ibu kandung yang dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia tujuh tahun beserta pasangannya, seorang wanita warganegara asing berperwatakan ‘tomboy’ ditahan reman.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perintah tahanan reman kedua-dua suspek itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru, bermula hari ini.

Menurut beliau, ibu suspek yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala suspek berperwatakan ‘tomboy’ berusia 30 tahun itu pula direman selama tujuh hari.

“Kedua-dua suspek tersebut ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 12.30 tengah malam tadi di kediaman mereka di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang.

“Polis turut merampas dua batang rotan bagi membantu siasatan, manakala semakan rekod mendapat kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya.

Kamarul Zaman turut memberitahu, mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Polis turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat awam yang menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu sehingga mangsa berjaya diselamatkan.

“Polis Johor akan terus komited untuk bekerjasama dengan masyarakat bagi membendungnya sebarang kejadian jenayah,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menunjukkan orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak yang dipercayai didera ibu kandungnya sendiri dan seorang rakannya.

Salah satu video yang tular turut menunjukkan bahagian badan belakang kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan fizikal agak teruk, dipercayai kesan luka akibat melecur.

Walaupun dipercayai telah didera ibu kandungnya sendiri, kanak-kanak itu masih kelihatan berlindung dengan wanita berkenaan ketika orang awam menerjah kediaman tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI