PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan cuaca buruk di beberapa buah negeri, malam ini.
Menurut hantaran di laman sesawang MetMalaysia, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang hanya akan melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Di Semenanjung, ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di Pahang, manakala di Kelantan dan Terengganu, hujan diramal turun di beberapa kawasan.
“Cuaca buruk itu juga dijangka melanda satu dua tempat di kawasan pedalaman Perak.
“Namun begitu, tiada hujan diramal berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka,” katanya dalam hantaran sama.
Menurut laporan sama, cuaca buruk diramal berlaku di satu dua tempat melibatkan Tawau, dan Sandakan di Sabah.
“Hujan lebat juga diramal berlaku di satu dua tempat di Sri Aman dan Kapit, Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE