LONDON – Pasukan Arsenal berdepan detik mencemaskan pada penghujung saingan sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas Nottingham Forest pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad The Gunners yang dikendalikan oleh Mikel Arteta membariskan kesebelasan utama dengan Gabriel Martinelli, Bukayo Saka dan Eddie Nketiah mengetuai jentera serangan.
Pasukan Arsenal yang menduduki tangga kedua EPL musim lalu dilihat bermula garang dengan melakukan beberapa percubaan bahaya ke kubu gawang pasukan Forest.
Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-26 hasil daripada penyudah bijak yang dilakukan oleh Nketiah selepas menerima hantaran daripada Martinelli.
Momentum cemerlang diteruskan oleh pasukan tuan rumah dan kini giliran Saka untuk mencetak nama selaku penjaring dengan meledak gol menerusi luar kotak penalti berselang enam minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, Arsenal dilihat mengendurkan sedikit jentera serangan dengan membiarkan pasukan pelawat untuk merencanakan beberapa siri percubaan bahaya.
Pasukan Forest akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-82 apabila pemain gantian Taiwo Awoniyi bijak menyudahkan peluang terhidang untuk meniupkan semangat rakan sepasukan.
Situasi tersebut sedikit meresahkan The Gunners tetapi berjaya mengekang setiap asakan yang dilakukan dengan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Arsenal kini berkongsi tiga mata bersama juara musim lalu, Manchester City yang turut merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Burnley pada aksi pembuka tirai EPL awal pagi tadi.- KOSMO! ONLINE