fbpx

Tahun Pengkomersialan Malaysia MOSTI menjana RM540 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri: Dzuleira Abu Bakar bersama pemenang Anugerah Usahawan Penyelidik di Sidang Kemuncak MCY 2023 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (tiga dari kanan).

PETALING JAYA – Usaha institusi teknologi tempatan dalam pengkomersialan hasil penyelidikan, pembangunan (R&D) dan inovasi masing-masing ke pasaran tempatan dan antarabangsa diiktiraf pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada acara berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyampaikan Anugerah MCY kepada 10 usahawan teknologi tempatan atas kejayaan mereka sepanjang tahun 2022.

Free the Seed Sdn. Bhd. dengan produk Biodegradable & Compostable Packaging Products made from Straw Cellulose Waste telah dinobatkan sebagai penerima ‘Supreme Award’, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Produk pembungkusan tersebut menggunakan sisa pertanian iaitu bahan biojisim pulpa selulosa daripada jerami padi dan kualitinya telah dipertingkatkan mengikut piawaian penjagaan kesihatan Eropah.

Ia turut merangkul Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dengan hadiah wang tunai bernilai RM130,000.

Empat kategori lain yang menawarkan hadiah wang tunai RM130,000 ialah Anugerah Inovator Baharu yang dimenangi Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui produk Harvast Photosynthesis Enhancer, manakala Anugerah Usahawan Penyelidik diraih SHE Empire Sdn. Bhd. (syarikat spin-off Universiti Teknologi Malaysia) melalui produk NK Age-Reverse.

Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan dimenangi ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd. melalui produk Structural Dynamic Monitoring for Ageing Offshore Platform, sementara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menerima Anugerah Usahawan Sosial melalui produk Urbankit.

Satu pemenang hadiah saguhati dari setiap lima kategori pula menerima hadiah wang tunai bernilai RM50,000 setiap satu berserta trofi dan sijil penghargaan.

Selain itu, para pemenang juga menerima manfaat bernilai RM177,000 untuk perkhidmatan penilaian harta intelek dan tahap kesediaan teknologi (TRL) dalam membantu mempercepatkan proses pengkomersialan yang ditaja oleh Valuing IP dan Brand Geeks.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), Dzuleira Abu Bakar berkata, beliau berbangga kerana MRANTI dipilih sebagai rakan strategik pada Persidangan MCY tahun ini.

“Matlamat kami adalah untuk mempercepatkan komersialisasi melalui perkongsian dan kerjasama. Kami juga tidak sabar untuk menyaksikan keajaiban yang bakal berlaku apabila kerajaan, industri, akademik, dan masyarakat bersatu untuk inovasi,” katanya.

MCY 2.0 yang telah dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2020 berjaya membantu mengkomersialkan 386 produk/teknologi/perkhidmatan ke pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai jualan lebih daripada RM402 juta.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memberitahu, pada 2021, sebanyak 48 lagi produk hasil R&D telah dikomersialkan dengan nilai jualan sebanyak RM74 juta.

Kejayaan yang dicapai itu diteruskan kesinambungannya dalam MCY 3.0 hingga tahun 2025 menerusi inisiatif MCY Goes Global.

“Bagi MCY 3.0, sebanyak 400 produk/teknologi/perkhidmatan hasil R&D tempatan akan dikomersialkan antara tahun 2021 dan 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 produk/teknologi/perkhidmatan disasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.” katanya.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI