fbpx

Sweet Charity himpun 5,000 peminat di JB!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usai Max Angklong membuka tirai konsert, penonton mula ibarat ‘naik syeikh’ saat susuk tubuh Papa Rock, Datuk Ramli Sarip berjalan keluar ke atas pentas memulakan persembahan.

SELEPAS 10 tahun menyepikan diri daripada menjamu halwa telinga peminat, kumpulan kelahiran Singapura, Sweet Charity kembali menggegarkan persada muzik tanah air.

Bertempat di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru, legenda rock itu turun melunaskan janji bertemu sekitar 5,000 peminat dengan Konsert Berita Gempa bagi melepas rindu yang terpendam sekian lama.

Saat senja hendak berlalu pada 29 Julai lalu, pekarangan stadium sudah dibanjiri pengunjung bukan sahaja peminat berusia, malah turut dihadiri orang muda dari seluruh negara dan tetangga seberang Tambak, warganegara Singapura.

Tepat pukul 9 malam, suhu dingin dalam stadium mula bertukar hangat dengan persembahan pemanas badan goyangan bertenaga instrumen muzik angklong daripada Max Angklong dengan lagu malar segar, Sri Mersing, Lemak Manis dan Kita Insan Biasa.

Usai Max Angklong membuka tirai konsert, penonton mula ibarat ‘naik syeikh’ saat susuk tubuh Papa Rock, Datuk Ramli Sarip berjalan keluar ke atas pentas memulakan persembahan.

Meskipun usianya menjengah 70 tahun, lantunan suara unik serak basah legenda kelahiran Singapura itu ternyata tidak mengecewakan.

Konsert Berita Gempa dimulakan dengan tiga lagu malar segar sehingga ke hari ini iaitu Di Tahun 2000, Pelarian dan Hilang Gelap Terbitlah Terang sebagai lagu ‘pemanas badan’.

Hiruk-pikuk

Apabila lagu Dekatlah Padaku, Dunia Perlumbaan dan Sejuta Wajah dimainkan, situasi berubah dan seakan-akan meledakkan emosi penonton pada malam itu apabila ramai yang berteriak menyanyi bersama-sama sambil mengoncang kepala (headbanging).

Petikan gitaris Rosli Mohalim dan Addy Rashidi yang beradu tenaga bersama Din Safari (bass), Rahman Sarbani (dram), Ahmad Jaafar (kibodis/vokalis kedua), Roza Rio (kibodis) serta Paang (perkusi) nyata membangkitkan hiruk-pikuk persembahan jelajah Sweet Charity.

Stadium Arena Larkin digegarkan lagi dengan lagu Berita Gempa dan Musibah sebelum lagu Bagaikan Bermimpi, Terharu dan Jalan Malam dinyanyikan oleh Ahmad dengan lagu Jalan Malam berduet dengan Rosli.

Legenda rock yang mempunyai tujuh album studio sejak 1979 itu turut mendendangkan lagu-lagu mereka yang pernah popular dan berkumandang di corong-corong radio satu ketika dahulu seperti Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama dan Raja Kumbang.

Sebelum meneruskan konsert dengan lagu ke-16 iaitu lagu saduran Tanjung Puteri yang pernah dinyanyikan Othman Hamzah dan amat sinonim dengan Johor, Ramli mengimbau satu sejarah hitam kumpulan itu semasa mengadakan persembahan di negeri tersebut.

“Kami pernah disenarai hitam daripada membuat konsert di Johor.

“Semasa bermain di ‘funfair’ di Taman Pelangi (Johor Bahru), pesntas roboh dan mengakibatkan beberapa orang pengsan tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Ini disebabkan penonton berpusu-pusu dan menolak antara satu sama lain.

“Tempat ‘funfair’ hanya boleh muat sekitar 3,000 orang tetapi pada hari itu yang datang 7,000 orang. Insiden ini menjadi tajuk utama akhbar keesokan hari.

“Kami diharamkan daripada masuk Johor hampir setahun setengah. Ini cukup memberi kesan kepada anggota kami kerana banyak yang datang dari Johor seperti dari Muar dan Pontian,” katanya sebelum lagu Tanjung Puteri dimainkan secara akustik.

Kemuncak malam Konsert Berita Gempa menghidangkan Apa Khabar Sayang, Seniman di Rantau, Datang dan Pergi, Batu, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Ribut 10.59 pagi, Kamelia, Teratai dan Penunggu.

Secara keseluruhan sebanyak 25 lagu dibawakan sebelum konsert anjuran Megatix Malaysia dengan kerjasama Tourism Johor itu melabuhkan tirai pada pukul 12 tengah malam.

Tidak terhenti di Larkin, Sweet Charity bakal kembali ‘meributkan’ negara kelahiran sendiri apabila dijadualkan mengadakan Konsert Ribut – Lima Dekat Bersama Sweet Charity di The Star Theatre, Singapura pada 14 Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI