SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah semestinya mempunyai keinginan untuk menimang cahaya mata sebagai penyeri kepada keluarga.
Bagaimanapun, ada antara pasangan yang terpaksa menangguhkan impian tersebut disebabkan faktor kesihatan atau lain-lain.
Namun begitu, penggunaan teknologi perubatan seperti pengawetan krio (cryopreservation) boleh dipertimbangkan.
Pasangan atau individu yang berhasrat untuk menangguh dan merancang keluarga kini mempunyai pilihan untuk berbuat demikian.
Prosedur yang dipanggil pembekuan oosit atau lebih dikenali sebagai pembekuan telur itu adalah proses di mana telur wanita (oosit) akan diekstrak, dibekukan dan disimpan.
Ia bagi membolehkan telur itu digunakan untuk persenyawaan dan kehamilan pada peringkat seterusnya.
Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Farah Leong Rahman berkata, pengawetan krio dilakukan menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan telur, sperma atau embrio.
Ujarnya, proses tersebut dilakukan pada suhu di bawah sifar iaitu sekitar -195 darjah Celsius untuk disimpan dan digunakan pada masa hadapan.
Menurutnya, apabila bercakap mengenai rawatan kesuburan, persenyawaan in-vitro (IVF) merupakan prosedur yang agak popular.
Namun katanya, ada sesetengah orang yang mungkin tidak dapat membezakan antara IVF dan pembekuan telur.
“Walaupun terdapat persamaan dan matlamat yang diinginkan adalah sama iaitu untuk hamil, kaedah serta proses dilakukan adalah berbeza.
“Dalam pembekuan telur, seorang wanita akan menjalani beberapa siri pengambilan ubat hormon untuk merangsang ovarinya menghasilkan lebih banyak telur.
“Apabila telur telah mencapai kematangan, pengambilan telur (egg retrieval) akan dilakukan. Telur-telur ini boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, proses persediaan sama akan dilakukan bagi mereka yang menjalani IVF, tetapi telur diambil akan disenyawakan dengan sperma pasangan di makmal.
Ahli embriologi seterusnya akan memantau pertumbuhan dan perkembangan embrio.
Embrio tersebut juga boleh dibekukan dan dipindahkan ke dalam rahim wanita di kemudian hari.
Telur yang telah beku boleh dicairkan dan digunakan dalam rawatan kesuburan seperti inseminasi intrauterine atau IVF.
Dengan kemajuan teknologi perubatan semasa, spesimen boleh disimpan melalui proses vitrifikasi yang menyebabkan pembekuan berlaku dengan cepat (15,000’C/minit) bersamaan dengan pembekuan terus.
Sementara itu, Persatuan Persenyawaan dan Embriologi Manusia menyokong bahawa pengawetan krio telur, sperma dan embrio boleh disimpan sehingga 55 tahun.
Seperti pembekuan telur, golongan lelaki juga boleh membekukan sperma mereka untuk memanjangkan dan memelihara kesuburan melalui proses sama.
Dikenali sebagai pembekuan sperma, ia merupakan kaedah memelihara sel sperma untuk kegunaan masa hadapan.
Ia melibatkan pengumpulan sampel air mani menerusi ejakulasi yang kemudian akan melalui proses pengawetan krio.
Ini adalah proses perubatan bermanfaat bagi pesakit lelaki yang sedang menjalani rawatan kesihatan serius seperti kanser.
Menurut Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari SMCV, Dr. Ashley Chung Soo Bee, kanser boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti sperma walaupun sebelum pesakit menjalani rawatan.
“Bagi lelaki, rawatan kanser boleh menyebabkan pengeluaran sperma menjadi lebih rendah, sperma rosak atau ketidakupayaan menghasilkan sperma.
“Kesan ini boleh bersifat sementara atau kekal dan ia bergantung kepada jenis rawatan yang dijalani pesakit.
“Ketika membuat persediaan untuk pembekuan sperma, pesakit lelaki dikehendaki mengeluarkan air maninya secara semula jadi.
“Kemudian, ia akan dihantar ke makmal IVF untuk dibekukan,” katanya.
Tambahnya, jika pesakit lelaki tidak dapat mengeluarkan air mani secara semula jadi, dia mungkin perlu menjalani prosedur untuk membolehkan sperma diambil dari buah zakar.