GUA MUSANG – Jumlah kenderaan perantau yang memasuki Kelantan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok, dilihat semakin bertambah sejak petang tadi.
Tinjauan Kosmo! di laluan lampu isyarat menuju bandar Gua Musang, di sini mendapati, bilangan kenderaan mula bertambah sejak pukul 5 petang tadi, namun keadaan trafik masih terkawal.
Seorang perantau, Nik Yusri Nik Hamid, 40, berkata, dia bertolak dari rumahnya di Kuala Selangor, Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Perjalanan saya bersama keluarga dari Kuala Selangor ke Gua Musang lancar meskipun berlaku pertambahan jumlah kenderaan menuju ke Pantai Timur.
“Saya tiba di Hentian Gua Musang, di sini untuk makan dan solat kira-kira pukul 6 petang. Mungkin kenderaan akan bertambah pada malam ini kerana perantau akan pulang ke Kelantan selepas waktu bekerja,” katanya.
Ahmad Bakar Daud, 55, pula berkata, dia mula bercuti pada hari ini dan bertolak awal untuk pulang ke kampungnya di Gua Musang bagi mengelakkan kesesakan.
“Saya sampai di Gua Musang pada pukul 3 petang tadi. Aliran trafik lancar, namun sedikit perlahan terutamanya di kawasan pembinaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) kerana laluan dua hala kawasan itu agak sempit.
“Meskipun saya bekerja di luar Kelantan, saya masih belum menukar tempat mengundi. Menjadi tanggungjawab saya untuk pulang memilih wakil rakyat dan meraikan sistem demokrasi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE