GUA MUSANG – Laluan menghala ke bandar Gua Musang masih lancar tanpa pertambahan kenderaan menjelang hari Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Tinjauan Kosmo! mendapati aliran trafik melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis serta kawasan lampu isyarat di bandar Gua Musang masih lancar tanpa pertambahan kenderaan.
Seorang pengguna jalan raya, Abdullah Omar, 35, berkata, aliran trafik di beberapa jalan menuju ke Gua Musang masih terkawal.
Katanya, pertambahan kenderaan dijangka berlaku esok kerana rata-rata perantau dari luar pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Kebanyakan rakyat Kelantan yang tinggal di luar negeri ini masih bekerja. Trafik mungkin akan meningkat hari ini kerana anak perantau akan pulang ke kampung masing-masing” katanya.
Sementara itu, seorang perantau dari Kuala Lumpur, Raja Nizam Raja Alias, 37, berkata, dia mengambil cuti tiga hari untuk pulang mengundi di Kuala Krai.
“Saya menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat menjelang petang ini. Kita berharap warga kota yang ingin pulang ke kampung halaman serta diingatkan sentiasa merancang perjalanan agar selamat serta sampai ke destinasi” katanya. – KOSMO! ONLINE