GUA MUSANG – Sebanyak tiga buah helikopter dan 30 buah kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk menghantar 10 peti undi ke enam pos pedalaman Orang Asli di daerah ini, hari ini.
Menurut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), operasi penghantaran peti undi dan petugas itu membabitkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri.
Katanya, operasi penghantaran peti undi dan petugas menggunakan helikopter dan kenderaan pacuan empat roda bermula pukul 10 pagi tadi di Dewan Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang (MDGM).
“Seramai 84 petugas itu terdiri daripada anggota Polis Pengiring dan Polis Komunikasi (WTO), Ketua Tempat Mengundi (KTM), Kerani Pengundian (KP), Penyelia Pusat Mengundi dan pemandu arah pusat mengundi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Penerbangan, Martin Mailis berkata, sebanyak sembilan penerbangan dilakukan untuk menghantar peti undi ke kawasan pos orang asli.
“Penerbangan hari ini melibatkan tiga buah pesawat iaitu satu helikopter jenis Bell 407 dan dua helikopter jenis AS350. Penghantaran membabitkan dua peti undi di setiap pos iaitu, Pos Bihai, Pos Hau, Pos Simpor, Pos Balar dan masing-masing satu di Pos Gob dan Pos Belatim,” katanya. – KOSMO! ONLINE