fbpx

PRN: SPR hantar peti undi Pulau Redang guna helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas SPR menghantar peti undi ke Pulau Redang menggunakan helikopter di IPG Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sebuah helikopter khas bagi menghantar tiga peti undi ke Pulau Redang sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Helikopter jenis 9M-KSM yang disewa khas SPR itu membuat tiga penerbangan untuk membawa tiga peti undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.

Jurucakap SPR negeri berkata, helikopter berkenaan berlepas dari padang Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail di sini dan mendarat di Lapangan Terbang Pulau Redang di sini.

“Perlepasan pertama dibuat pada pukul 11.02 pagi tadi sambil diiringi empat petugas termasuk seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan seorang anggota polis bagi setiap penerbangan.

“Sebaik sahaja helikopter mendarat di Lapangan Terbang Pulau Redang, van SPR akan mengambil dan membawa ketiga-tiga peti undi berkenaan ke Balai Polis Pulau Redang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap SPR negeri berkata, prosedur tersebut dibuat bagi perjalanan hari pengundian di tiga saluran bagi DUN Batu Rakit membabitkan penduduk di Pulau Redang dengan jumlah 1,307 pengundi.

Pada PRN kali ini, DUN Batu Rakit akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Bazlan Abd. Rahman daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd. Shafizi Ismail (Pas).

Bazlan memenangi kerusi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dengan majoriti tipis 299 undi ke atas Mohd. Shafizi serta calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amir Long. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI