fbpx

PRN: Sesi pujuk rayu pengundi minit terakhir sebelum 12 malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENYANTUNI menyantuni pengundi adalah satu kaedah yang berkesan bagi memenangi hati mereka memilih calon PRN. –GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Berbaki 24 jam lagi kempen Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) di enam negeri, semua parti politik perlu membuat pelbagai strategi sebagai ‘pecutan terakhir’ dalam memenangi hati pengundi di kawasan masing-masing.

Antara strategi yang boleh dilakukan calon adalah dengan memberi tumpuan kepada kawasan kelabu hitam, yang mana potensi untuk menang terbuka jika pandai mengambil hati pe­ngundi.

Menjelaskan perkara itu, Pe­nganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, kebiasaan kawasan kelabu hitam ini mempunyai ke­lebihan kepada calon yang pandai ‘memujuk rayu’ hati pengundi.

“Untuk saat akhir kempen, biasanya calon akan memberi tumpuan lebih kepada kawasan kelabu hitam kerana kawasan ini peluang untuk setiap calon untuk menang adalah seimbang.

“Sebagai contoh, kalau DUN (Dewan Undangan Negeri) mereka ada 15 pusat daerah mengundi (PDM), ada lima putih, lima kelabu hitam dan lima hitam. Mereka akan tumpu pada kawasan kelabu hitam ketika ini.


PEMASANGAN bendera parti salah satu kempen berkesan sepanjang PRN. – GAMBAR HIASAN

“Biasanya yang putih sudah menjamin undi kepada mereka (calon). Kawasan hitam pun mereka akan pergi bagi menyeimbangkan undi di kawasan terbabit,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, antara strategi yang boleh dilakukan di kawasan itu adalah dengan mengadakan siri jelajah oleh pemimpin-pemim­pin tertinggi parti.

“Mereka perlu turun padang bersemuka dengan pengundi, terangkan apa manifesto parti dan tawaran-tawaran yang akan diberikan.

“Saya yakin jika mereka pandai memujuk dan merayu hati pengundi, kawasan kelabu akan bertukar putih dan pasti kemenangan di tangan mereka,” ujar­nya.

Sementara itu, Profesor Politik dan Hubu­ngan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani pula berkata, kempen di saat akhir ini merupakan peluang terakhir calon untuk meraih undi, terutamanya dalam kalangan pengundi atas pagar, anak muda dan kumpulan perantau.

Ini kerana kata beliau, tiga ka­tegori pengundi ini biasanya dilihat membuat keputusan pada saat-saat akhir sebelum masuk ke pusat pengundian.

“Jadi, gunakanlah peluang ini dengan sebaik mungkin, bagi pengundi muda mereka perlu pertingkatkan kempen menerusi media sosial kerana kita lihat kempen tersebut menjadi pilihan.

“Kena pandai atur strategi untuk menawan hati pengundi se­perti ini. Mereka melihat apakah tawaran yang bakal peroleh jika memilih calon. Jangan abaikan golongan ini kerana mereka boleh mempengaruhi keputusan di sesuatu kawasan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI